Novel Anggerik Ungu

 

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

أَهْلًا وَسَهْلًا kalian. Coretan pada kali ini, saya ingin menceritakan kebaikan kepada remaja daripada watak utama dalam novel anggerik ungu. 

Penulis novel Anggerik Ungu adalah Dr. Nur Fatiha Fadila Bin Abu Bakar. Umumnya, saya mengenali dr Fatihah kerana beliau mengajar saya kursus BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif. Saya juga amat suka akan karya sastera beliau, salah satunya novel Anggerik Ungu dan cerpen Bangsawan Malim Sulaiman.

Kembali kepada pengisian coretan tentang kebaikan kepada remaja daripada watak utama dalam novel ini.

    Watak utama dalam novel Anggerik Ungu ialah Sofia Humairah. Dalam watak Sofia ini banyak memberi nilai murni yang boleh diambil sebagai iktibar kepada kita, khususnya dalam kalangan remaja kini. Antaranya ialah hormat kepada guru sekolah. Situasi ini dapat dicontohi dalam novel Anggerik Ungu yang mana sikap Sofia mengucup tangan guru mudanya sebelum pergi salin baju selepas tamat kelas sukan. Oleh itu, pengajaran yang dapat diambil bagi situasi tersebut adalah tidak semestinya kita hanya hormat kepada ibu bapa sahaja malahan guru juga merupakan insan yang banyak berjasa dan membantu kita dalam menimba ilmu di persekolahan. Sikap Sofia sedemikian membolehkan guru berasa dihargai dan dihormati apabila adab sebagai remaja mahupun pelajar diamalkan pada masa kini. Selain itu, sikap Sofia yang sentiasa hormat akan kedua orang tuanya itu juga boleh mempengaruhi pembaca apabila membaca novel ini. Hal ini dikatakan demikian kerana setia kali Sofia pergi ke sekolah ataupun balik dari sekolah, dia pantas memberi salam dan mengucup tangan kedua-dua ibu bapanya iaitu Puan Aisyah dan Encik Fairul. Tindakan Sofia sewajarnya diamalkan sebagai seorang anak namun kini adab tersebut telah banyak dihiraukan oleh generasi remaja kini. Oleh itu, sikap hormat-mengormati kepada ibu bapa juga perlu diterapkan kerana kedudukan ibu bapa merupakan tinggi darjatnya dan salah satu memuliakan mereka sebagai tanda hormat. Begitu juga perasaan tanggungjawab dalam diri perlu ada bagi mendidik akhlak yang mulia dalam kekeluargaan serta pembentukan adab untuk menjadi insan yang baik.

    Selanjutnya, Sofia juga akan menanyakan khabar ibunya selalu dan memicit-micit kepala ibunya kerana kelihatan keletihan dan sibuk menguruskan hal di rumah. Sikap Sofia yang sayang dan prihatin terhadap ibunya itu patut dicontohi. Sebagai anak kita harus menjaga ibu atau bapa apabila mereka sedang sakit dengan sebaik mungkin. Sikap ini perlu diterapkan terutamanya dalam kalangan remaja kini kerana mereka sering tiada di rumah dan melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti melepak sehingga terlupa akan tanggungjawab mereka sebagai anak, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa mereka itu sedang uzur. 

    Di samping itu, sikap Sofia yang menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram iaitu Faridh, kawan lelaki sekelasnya. Situasi yang dapat kita lihat dalam novel Anggerik Ungu di mana Sofia dan Faridh akan berbual mengenai perkara yang bersangkutan pelajaran sahaja. Tambahan pula, sikap Sofia akan sentiasa ambil wuduk sebelum tidur, membaca Ayat kursi dan Tiga Qul, membaca Al-Quran serta akan solat Subuh berjemaah dengan ayah dan ibu Sofia. Sikap taat akan agama akan mudah terbentuk apabila didikan oleh ibu bapa kerana mereka merupakan insan yang paling utama dalam hidup anak-anak. Dengan demikian, sikap Sofia dapat memberi iktibar kepada kepada remaja kini untuk sentiasa patuh akan perintah Allah S.W.T, lebih-lebih lagi era globalisasi kini, banyak remaja yang tidak menjaga ikhtilat, maka hal ini boleh mendatangkan fitnah dan kemurkaan Allah S.W.T. Oleh hal yang demikian, pematuhan dan kepercayaan segala suruhan-Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing dapat membentuk keperibadian insan yang mulia di sisi Allah S.W.T dan memperlihatkan individu yang memiliki moral dan berakhlak baik.

    Seterusnya, sikap Sofia yang rajin dan bersungguh melakukan sesuatu. Contohnya, dia akan sentiasa mengulang kaji pelajaran dalam biliknya dan akan ke kelas tuisyen selepas balik dari sekolah. Selain itu, kesungguhan Sofia menulis puisi dan gemar membaca bahan bacaan yang berkualiti dan menambat hatinya telah menjadikan Sofia cemerlang dalam keputusan peperiksaan dan mendapat 8A. Oleh itu, ketekunan bagi seseorang yang rajin membaca buku yang pelbagai genre dan fiksyen sudah tentu pengetahuannya bertambah dan mengetahui perkembangan terkini. Dengan demikian, sikap seperti ini perlu diterapkan dalam diri dan sentiasa berusaha untuk menambah tuntutan kecerdasan dan kegigihan melalui pembacaan media massa sekurang-kurangnya agar mendapat hasil yang dikehendaki dan berfikiran kompetitif serta progresif. 

    Kesimpulannya, sikap atau nilai murni yang ada pada watak utama, iaitu Sofia Humairah ialah hormat-menghormati, prihatin, kasih sayang, patuh akan pegangan agama dan nilai kerajian atau kegigihan dapat membentuk jati diri yang utuh kepada si pembaca dan seterusnya sudah pasti akan mempengaruhi emotif serta pelakuan pembaca novel Anggerik Ungu tersebut. Dengan demikian, banyak iktibar yang boleh diambil dan dipupuk dalam novel tersebut bagi membentuk insan yang unggul keperibadiannya serta  berupaya menjadi generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam sanubari dan kehidupan seharian. 









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kenali Gambus Brunei

Kurangnya minat terhadap bidang sastera, bahasa dan budaya?